Contohi Selangor jika kerajaan mahu bantu pesara polis


Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kuala Lumpur, Nasiruddin Mohamed berkata, veteran polis zaman darurat tidak diberikan pembelaan setimpal terhadap jasa yang dicurahkan menjaga keselamatan negara.

Demikian respon beliau berkenaan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar akta baharu digubal bagi menghargai jasa dan pengorbanan veteran polis zaman darurat dan konfrontasi.

“Seingat saya baru dua kali pesara polis diberi imbuhan itupun secara ‘one-off’. Mereka diberi RM1,000 sekitar 2007 dan 2008 manakala pada 2012 pula RM3,000 diberikan.

“Pemberian itu sekadar mengambil kesempatan untuk mengekalkan sokongan bekas polis kepada kerajaan ekoran isu Mat Indera yang ditimbul oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

“Selepas itu, pesara polis tidak lagi mendapat bantuan yang memuaskan melainkan berharap wang pencen setiap bulan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Hasrat kerajaan menggubal akta baharu itu dipercayai ekoran penegasan Pakatan Rakyat yang mahu membela nasib anggota polis dan tentera apabila diberi mandat mentadbir negara.

Nasiruddin yang juga Naib Presiden PBPM Pusat berkata, usaha menggubal akta itu walaupun baik tetapi belum tentu berkesan selagi masalah berkaitan belum diselesai.

“Pada 12 Mei 2011, Yayasan Pengaman Malaysia ditubuhkan dan antara matlamatnya adalah menjaga kebajikan pesara polis. Tetapi hingga kini yayasan itu belum berfungsi dengan baik kerana ada pesara tidak mendapat kerusi roda dan beberapa bantuan lain,” katanya.

Beliau berkata, jika akta itu mahu digubal, KPN disaran mencontohi Selangor yang banyak memberi manfaat kepada rakyat seperti imbuhan RM1,000 kepada waris si mati.

“Kawan saya cerita ada ahli Umno negeri lain berminat menetap di Selangor kerana boleh dapat banyak manfaat di sini melalui skim kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment